Wanita dan Kesuburan
Bilakah Waktunya Tahap
Terbaik Kesuburan Wanita?
Dan Bagaimanakah Caranya Untuk Mengenal Pasti Masalah Kesuburan Di Kalangan Wanita?
Dan Bagaimanakah Caranya Untuk Mengenal Pasti Masalah Kesuburan Di Kalangan Wanita?
Secara umumnya wanita subur sebaik sahaja dia
mencapai akil baligh yaitu
apabila haid pertamanya keluar. Biasanya kanak-kanak perempuan mencapai akil
baligh dalam lingkungan umur 12 tahun.
Lumrahnya, bagi seorang wanita, tempoh kesuburan
berlangsung sehingga seseorang wanita mencecah umur 48 tahun iaitu sehingga
berlaku putus haid (monopaus). Oleh itu dalam jangka masa 36 tahun waktu subur tersebut, bagi wanita yang berumahtangga
akan mengalami beberapa kali kehamilan dan kelahiran.
Kesuburan seseorang wanita berkait dengan
keupayaan mengeluarkan telur atau benihnya. Benih perempuan akan keluar sekali
dalam satu pusingan haid dan pada waktu tertentu saja.
Terdapat beberapa cara atau kaedah bagi
menentukan seseorang wanita itu mengeluarkan benih atau tidak dan bilakah
masanya benih tersebut keluar. Waktu mengeluarkan benih inilah waktu subur atau
pun disebut sebagai fertile period.
Oleh itu bagi pasangan yang inginkan cahaya mata,
inilah masa yang sesuai untuk melakukan hubungan seksual atau persetubuhan atau
sebaliknya elakkan hubungan bagi yang merancang untuk tidak ingin hamil.
Waktu subur boleh dikenalpasti sendiri melalui:
1. Pusingan Haid (menstruasi):Bagi seseorang wanita yang mempunyai pusingan haid yang teratur setiap bulan biasanya subur. Pegeluaran benih akan berlaku pada hari ke-13 atau 14 (dikira dari hari pertama darah haid keluar).
Satu pusingan haid - ianya dikira dari hari
pertama keluar haid hinggalah sehari sebelum haid datang semula. Ianya meliputi
jangka masa 28 ke 30 hari.
Oleh yang demikian adalah penting bagi setiap
wanita yang inginkan cahaya mata senantiasa merekod tarikh bagi keluaran haid
dalam buku catatan khas - yang mengandungi carta suhu badan.
Selain itu ada beberapa tanda yang biasanya
berlaku pada masa keluaran benih seperti ada rasa sakit atau senak dibahagian
bawah perut dan pengeluaran lendir yang berlebihan dari kemaluan. Kadangkala
lendir ini berwarna coklat, jernih dan mudah dijalurkan atau stretchable dan
rupanya seperti putih telur mentah. Sebaik sahaja lendir keluar, lendir
bertukar bentuk menjadi lebih kesat dan pekat.
Catatan suhu perlu dilakukan dengan menggunakan
jangka suhu atau thermometer khas yang digelar "ovulation
thermometer". Catatan suhu badan ini perlu dilakukan sebaik sahaja bangun
dari tidur (sebelum mandi). Persediaan awal perlu dilakukan pada malam sebelumnya
iaitu dengan menggoncangkan thermometer supaya tanda raksa akan turun ke paras
yang paling rendah. Apabila hendak mengambil suhu badan, thermometer tersebut
perlu dimasukkan ke dalam mulut selama dua atau tiga minit. Catatan suhu badan
ini sepatutnya dilakukan setiap hari kecuali pada masa datang haid.
Biasanya suhu badan akan turun sedikit pada hari
pengeluaran benih dan sejurus kemudian ianya akan meningkat naik sebanyak 0.2
darjah celcius dan kenaikan suhu badan ini akan berlarutan sekurang-kurangnya
10 hari atau lebih. Sekiranya bentuk carta sedemikian tidak diperolehi maka
seseorang wanita itu mungkin alami masalah tidak mengeluarkan benih dan
seterusnya tidak boleh hamil.
Bagi seseorang wanita yang mengalami masalah
gangguan haid tidak teratur atau kesukaran untuk hamil maka anda digalakkan
menemui Dr. Sakit puan dan kemungkinan akan menjalani ujian-ujian berikut:
1. Ujian Darah:
Ujian darah untuk mengesan paras hormon boleh
juga digunakan untuk menentukan wanita itu keluar benih atau tidak. Sukatan
paras hormon progesterone dilakukan pada hari ke-21 hingga 25 dalam pusingan
haid. Manakala bagi wanita yang pusingan haid mereka tidak teratur seperti
datang haid sekali dalam tiga bulan ataupun sekali dalam enam bulan, biasanya
tidak subur kerana benih tidak keluar dengan teratur. Dalam hal demikian
beberapa ujian perlu dilakukan untuk mengesan punca masalah tersebut. Antara
ujian yang penting ialah menyukat paras hormon dalam aliran darahnya seperti
hormon gonadotrofin (FSH, LH) dan prolaktin.
2. Ujian D & C:
Ujian D & C selalunya dilakukan oleh doktor
kepada wanita yang mengalami masalah kurang subur. Ia merupakan tatacara
pembedahan kecil di mana saluran pangkal rahim wanita itu dikembangkan. Proses
ini digelar dilatation. Ruang rahim kemudian dikikis dengan alat tajam yang
digelar curettage. Tatacara ini memberi manfaat kepada sesetengah wanita yang
pangkal rahim mereka sempit dan ini mungkin memudahkan perjalanan benih lelaki
ke dalam sistem peranakan.
Melalui proses mengikis ruang rahim ini juga
membantu doktor mengeluarkan tisu yang tidak normal untuk membolehkan kehamilan
berlaku.
Sesetengah doktor melakukan insufflation iaitu
memancutkan air berwarna ke dalam saluran peranakan ketika melakukan D & C
itu. Tatacara ini bertujuan untuk menguji sama ada salur fallopian terbuka atau
tersumbat dengan melihat pengaliran air yang dipancutkan itu. Ujian ini jarang
dilakukan pada masa sekarang kerana seringkali ia tidak memberi kepastian
mengenai keadaan saluran peranakan tersebut.
Prosedur ini secara tidak langsung juga dapat
membantu doktor mengenalpasti samada seseorang wanita itu boleh mengeluarkan
benih ataupun tidak.
3. Pemeriksaan Fizikal:
Bahagian tubuh badan wanita yang patut diperiksa
termasuklah:
- Buah dada
- Kilang tiroid pada leher
- Sistem peranakan.
Pemeriksaan leher adalah bertujuan untuk mengesan
ketumbuhan pada kilang tiroid yang biasanya boleh mengeluarkan hormon tiroksina
berlebihan dan seterusnya mengganggu pengeluaran benih.
Pemeriksaan buah dada pula bertujuan untuk
mengesan ketumbuhan dan pengeluaran air susu kerana jika keadaan ini berlaku
ada kemungkinan imbangan hormon dalam darah wanita itu terganggu. Mungkin paras
hormon prolaktin tinggi dan ini mengganggu pengeluaran benih perempuan.
Pemeriksaan sistem peranakan ini adalah sangat
penting untuk menentukan sama ada sistem peranakan seseorang wanita itu normal
atau tidak. Sistem ini melibatkan faraj, pangkal rahim, saluran peranakan dan
kilang ovari. Berbagai-bagai cara digunakan untuk memeriksa dan menilai system
peranakan ini. Biasanya setelah doktor memeriksa kemaluan dan peranakan
seseorang wanita itu, dia dapat menentukan secara kasar sama ada sistem
peranakannya normal ataupun tidak.
4. Pemeriksaan Laparoskopi:
Ia merupakan pemeriksaan untuk melihat secara
terus ke dalam perut wanita melalui sejenis teropong yang digelar laparoskop.
Teropong ini dimasukkan melalui satu hirisan sepanjang setengah inci di bawah
pusat. Menerusi teropong ini doktor boleh melihat keadaan ovari, salur
fallopian dan sekeliling rahim. Jika terdapat sesuatu penyakit yang menimbulkan
masalah bagi kesuburan wanita, rawatan yang sewajarnya perlu diberi.
Pemeriksaan laparoskopi ini juga sangat penting
kerana memang terdapat penyakit seperti ketumbuhan dan jangkitan kuman yang
tidak memberi sebarang tanda, boleh dikesan melalui teropong tersebut. Antara
jenis penyakit yang selalu tumbuh ialah sejenis ketumbuhan yang digelar
endometriosis. Penyakit ini kerapkali mengganggu pengeluaran benih dan ia juga
menyekat saluran peranakan. Menurut kajian Dr. Hamid Arshat Pakar, iaitu Pakar
Sakit Puan yang terkenal di negara kita, kejadian penyakit ini kini kian
meningkat. Ini mungkin disebabkan oleh lebih ramai wanita zaman sekarang yang
melambatkan perkahwinan ataupun menangguhkan kehamilan dan kelahiran anak.
Selain itu juga wanita yang pernah mengalami
keguguran sama ada secara sengaja atau tidak, kerapkali juga dijangkiti oleh
kuman khususnya pada bahagian saluran peranakan. Saluran peranakan boleh rosak
dan tersumbat. Ketumbuhan juga boleh berlaku pada kilang ovari dan ini boleh
mengganggu pengeluaran benih.
Sesetengah penyakit yang dikesan ketika
pemeriksaan `laparoskopi’ dirawat pada masa itu juga tetapi ini adalah terhad.
Kadangkala, rawatan selanjutnya perlu dilakukan dengan satu pembedahan besar
untuk mengatasi masalah saluran tersumbat ataupun untuk mengeluarkan ketumbuhan
pada rahim atau ovari.
5. Ujian Hysterosalpingogram
(X-Ray)
Ia merupakan ujian yangn dilakukan pada seseorang
wanita yang dikesan saluran peranakannya tersumbat. Prosedur ujian ini khusus
untuk melihat ruang rahim dan juga saluran peranakan menerusi gambar X-ray.
Sebelum gambar X-ray diambil, satu jenis cecair khas atau contrast medium
disuntikkan ke dalam pangkal rahim dan selepas itu beberapa gambar X-ray
diambil. Ujian ini biasanya dilakukan sebaik sahaja berhenti darah haid tetapi
sebelum waktu subur. X-ray yang dilakukan selepas waktu subur dikhuatiri akan
memberi kesan buruk kepada bayi sekiranya berlaku kehamilan akibat terdedah
kepada bahangan atau sinar X-ray.
Semoga tulisan bulan ini sedikit sebanyak dapat
memberikan gambaran yang lebih jelas kepada anda berhubung dengan anda dan
kesuburan.
Ikuti topik seterusnya dalam keluaran newsletter
bulan Julai nanti.
Jika anda fikir topik ini berfaedah kepada anda,
ada baiknya anda kongsikan maklumat ini bersama rakan anda yang lain. Sila klik di sini untuk
me-war-warkannya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar